SEJARAH RINGKAS SKPK

SEJARAH SEKOLAH



                                                               Rajah: SKPK Sekarang
                                                         Rajah: SKPK Tahun 1955
Rajah : Awang Putih


Sejarah awal Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala bermula pada tahun 1949.yang digelar sekolah rakyat ketika itu Bangunan bertiangkan batang buloh beratapkan daun nipah telah dibangunkan di atas sekeping tanah berukran suku ekar kepunyaan arwah Tok Diah Bin Merah. Setelah bangunan ini siap dibangunkan secara bergotong royong, lalu ketuanya iaitu pengasas sekolah ini iaitu Mat Yusoff Bin Awang mula berbincang dengan penduduk kampong untuk mencari seorang guru bagi mengajar anak-anak sekitar kampong yang ingin bersekolah.

Lalu bertemulah seorang pemuda yang ketika itu sedang mengajar dan melatih ‘Dikir Laba’ iaitu Che Awang Putih Bin Abu Samah. Setelah berbincang, lalu beliau pun sanggup untuk menjadi guru di situ. Beliau bersama empat lagi rakan sebagai guru di situ iaitu En Maulud Bin Ismail, En Ismail Bin Hamat, En Daud Bin Abd Rahman, En Muda Bin Awang dan En Harun Bin Yusof. Gaji guru-guru waktu itu ialah beras secupak dan duit 50 sen sebulan.

Ramai pelajar ketika itu ialah seramai 200 orang yang datangnya dari 10 buah kampong sekitar. Malangnya hayat bangunan ini tidak kekal lama apabila ianya runtuh setelah 6 tahun digunakan. Lalu pada tahun 1955 pengasasnya En Mat Yusof Bin Awang telah memberikan tanah yang seluas ½ ekar dengan bayaran saguhati daripada orang kampong sebanyak seratus ringgit. Lalu dibangunkan pula rumah sekolah dengan menggunakan kayu ‘Kenanga” yang diambil dari bukit di kawasan Jeli.

Pada tahun 1970 bangunan batu dua tingkat telah dibina semula oleh kerajaan, kemudian perasmiannya telah dilakukan pada tahun 1972 oleh YB Dato’ Haji Mohamad Bin Nasir (Menteri Besar Kelantan) dan Pengarah Pelajaran Kelantan iaitu En Saw Chee Ling Pengurus Bersama waktu itu ialah En Abdul Rashid Bin Yusuf iaitu anak kepada pengasas sekolah rakyat Pangkal Kala iaitu Mat Yusof Bin Awang. Majlis perasmian ini begitu meriah dengan perarakan Replika Buroq Raksasa sepanjang 6 meter. Kemuncaknya raksasa ini diarak ke rumah bekas Che Awang Putih sebagai memberi penghormatan dan penghargaan kepada beliau yang telah berjasa sebagai guru yang pertama dan sebagai Guru Besar yang pertama untuk Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala. Pada tahun 2003 bangunan baru dua blok empat tingkat telah dibangunkan dan mula beroperasi pada tahun 2005 sehingga sekarang.