Sunday, March 21, 2010

MEMBACA

Terdapat 4 tahap kemahiran membaca iaitu:

a. Skimming
Skimming merupakan satu bentuk kemahiran membaca untuk mendapat gambaran keseluruhan atau idea utama dalam sesuatu bahan atau teks bacaan . Misalnya, apabila kita membaca surat khabar, tentunya kita tidak akan membaca perkataan demi perkataan, sebaliknya kita akan melakukan imbasan terhadap petikan yang terdapat dalam surat khabar tersebut.
Skimming dilakukan 3 atau 4 kali lebih cepat daripada pembacaan normal. Kebanyakan orang melakukan pembacaan secara skimming apabila mereka mempunyai banyak bahan yang perlu dibaca dalam masa yang terhad. Kemahiran skimming wajar dikuasai pelajar supaya pelajar dapat menjimatkan masa ketika mencari maklumat atau informasi tertentu melalui pembacaan artikel di internet atau bacaan buku rujukan. Skimming amat berguna kepada pelajar terutamanya ketika pelajar ingin mencari informasi melalui internet. Pelajar perlu membuat pembacaan secara skimming untuk melihat sama ada sesuatu bahan tersebut memenuhi keperluan pelajar atau berkaitan dnegan maklumat yang ingin diperoleh oleh pelajar.

Ada terdapat beberapa strategi yang boleh dilakukan ketika skimming. Pelajar boleh membaca tajuk, sub-tajuk atau melihat gambar rajah atau carta. Pelajar boleh membaca perenggan pendahuluan dan penutup seuatu teks. Selain itu, baca juga hanya ayat pertama setiap perenggan. Biasanya ayat pertama ini memberi idea utama yang ingin disampaikan oleh penulis.
Cara bacaan ini adalah lebih sesuai sekiranya pelajar ingin mencari maklumat tertentu bukannya untuk pemahaman teks. Paling sesuai sekiranya pelajar ingin mengetahui tentang sesuatu tarikh, nama, tempat dan maklumat-maklumat yang spesifik seperti data atau fakta ringkas. Malah skimming boleh digunakan untuk melihat graf, jadual atau carta.

b. Scanning

Scanning atau imbasan ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi yang lebih terperinci daripada bacaan skimming. Biasanya, melalui kemahiran membaca secara scanning pelajar mampu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang timbul dalam sesuatu topik pelajaran. Dalam erti kata lain, dalam kebanyakan situasi, pelajar tahu perkara yang ingin dicari. Lantaran itu, fokus pembacaan ialah mencari kata-kata kunci yang tertentu dalam mencari jawapan tersebut. Membaca secara imbasan melibatkan tindakan menggerakkan anak mata dengan cepat untuk mencari perkataan khusus atau frasa-frasa tertentu.

Sebenarnya, pembacaan secara scanning atau imbasan ini merupakan satu kaedah cepat untuk mendapatkan fakta tertentu dalam buku teks atau buku rujukan. Scanning juga merupakan satu langkah awal bacaan kerana melalui cara ini, pelajar boleh mengetahui istilah-istilah baru dan seterusnya mencari maknanya dalam kamus atau glossari dan menjimatkan masa ketika membuat pembacaan sebenar atau bacaan berat untuk pemahaman.

Menguasai kemahiran membaca secara scanning melibatkan masa yang tidak lebih daripada beberapa minit. Hal ini membantu pelajar menjimatkan masa dan dalam masa yang sama mendapat jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan. Hanya selepas itu, pelajar boleh membuat keputusan dalam menentukan tahap kepentingan sesuatu istilah, konsep dan bahagian dalam teks atau buku teks mahupun buku rujukan yang memerlukan perhatian khusus ketika pelajar membuat ulang kaji atau membaca untuk belajar

c. Baca Laju

Kemahiran bacaan laju merupakan kemahiran membaca secara cepat tetapi dalam masa yang sama memahami bahan yang dibaca. Dalam bacaan laju, tumpuan utama kepda idea utama atau isi-isi penting dalam sesuatu bahan bacaan. Penguasaan kemahiran bacaan laju banyak membantu pelajar menggunakan masa yang terhad secara optimum. Hal ini disebabkan oleh pemerolehan maklumat atau fakta yang diperlukan oleh pelajar dapat dilakukan dalam masa yang singkat dan dengan kadar yang cepat.

d. Bacaan berat atau bacaan intensif

Bacaan berat atau bacaan intensif ialah kemahiran membaca untuk mendapatkan informasi secara terperinci. Bacaan intensif memerlukan fokus yang mendalam dan penelitian terhadap bahan atau teks yang dibaca. Dalam menguasai kemahiran membaca intensif ini , pelajar perlu memiliki ketekunan dalam pembacaan yang tinggi. Pelajar juga perlu memperuntukan masa yang panjang untuk melakukan bacaan berat kerana bacaan berat melibatkan masa yang lebih lama supaya pelajar boleh mendapat maklumat dan memahami teks atau bahan bacaan secara jitu dan mantap.

No comments:

Post a Comment